|
Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan
hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan
sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah?
Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh
dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum
kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan "blessed you".
Terima kasih
JAWAPAN
InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap
politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah
disensasikan sebagai isu politik di tanahair.
Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya
adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk
kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak
punyai sebarang info jelas berkenaannya.
Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa
keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti
berikut :-
a. HUKUM
HARAM
Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan
KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA
DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.
Imam An-Nawawi menyebut :
وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن
والإجماع
Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk
mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma'
ulama ( Al-Majmu')
RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ
لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا
تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Ertinya : Tiadalah
sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan
ampun (kepada
Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun
orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas
bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah
penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat
: 113)
أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه
أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ
. فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ
يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ
بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ )
وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )
Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada
Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi
: "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia
tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat,
turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti "
sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa
yang engkau sukai"
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari
berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam
Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata
حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه
Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat
untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak
pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk
Tuhafatul Muhtaj )
b. HUKUM
HARUS
Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar
mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga
lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang,
kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu
HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama
Islam.
Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :
بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ
Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat
hidayah agar dijinakkan hati mereka.
RINGKASAN DALIL
Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-
فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ
عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ
Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata
: Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka
dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya.
Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari
ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat
Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)
Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu
Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu
Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)
Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu
taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi
akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam
khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam,
di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat
beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).
كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ
اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi
serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah
merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut :
Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan
pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut
Albani)
Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti
keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu,
maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang
bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa
makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu".
Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah
ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang
bukan Islam itu boleh ditukar kepada "May Allah guide you" atau
apa-apa yang seerti dengannya. Namun jika situasi itu tidak
sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut 'get well
soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.
Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk
bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim
sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)
Nabi pernah berdoa :
اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين
Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang
dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)
Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam
yang baik dan TIDAK
BERCIRI PENENTANG ISLAM agar
mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur,
tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang
tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.
Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan
menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana
mereka jahil dan tidak mengetahui.
KESIMPULAN
Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi
kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah
atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung
kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia
seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS
KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat
DISEPAKATI HARAM.
TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas
mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah
memberi hidayah kepadanya.
Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti
menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang
Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang
kukuh jalan riwayatannya, disebut :-
من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله
Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia
sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi
dalam Syu'ab al-Iman)
Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan
tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa
yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar
wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan
tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau
arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak
kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang
masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah
bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu
dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik
menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari
kedua-dua pihak.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
13 Ramadan 1431 H
23 Ogos 2010 |